Larian amal khas wanita 17 Mei

16 Apr
Datin Paduka Hajah Adina menandatangani papan tanda pelancaran sementara disaksikan oleh Wu Chun.

Datin Paduka Hajah Adina menandatangani papan tanda pelancaran sementara disaksikan oleh Wu Chun.

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Fitness Zone bersama rakan rasmi Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), buat julung-julung kalinya akan menganjurkan larian amal khas untuk wanita ‘She Run 2015’ pada 17 Mei ini untuk mengumpul dana bagi Yayasan Kanser Kanak Kanak (Yaska).

Acara yang akan berlangsung di Fitness Zone cawangan Serusop itu juga diadakan bagi meraikan keputusan Fitness Zone menukar cawangannya di Serusop menjadi Kelab Kesihatan Untuk Wanita.

Hadir melancarkan acara larian itu, hari ini, ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, bersama Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun.

Di majlis itu, Wu Chun berkata, “Hero saya adalah ibu saya dan dia meninggal dunia kerana kanser. Kerana pengaruh ibu saya, dia mengaspirasikan saya untuk mengadakan acara tahunan ini dengan harapan bagi meningkatkan kesedaran mengenai bagaimana kita boleh membantu kanak-kanak yang didiagnosis menghidap kanser dan juga menunjukkan pentingnya wanita dalam masyarakat kita.

“Ini adalah salah satu acara paling menarik tapi bermakna yang pernah saya lakukan di Brunei,” ujarnya lagi, sambil menambah ia akan menjadi pesta meraikan kejayaan wanita yang memberikan inspirasi.

Menurutnya, 100 peratus hasil daripada larian berkenaan akan disumbangkan kepada YASKA untuk membantu kanak-kanak yang didiagnosis menghidap kanser bagi memenuhi hasrat mereka.

Sementara itu, Presiden MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat pula menyatakan bahawa terdapat 12 persatuan di bawah majlis berkenaan, dan mereka akan memberikan sokongan bagi acara berkenaan.

YASKA adalah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan sokongan kepada kanak-kanak yang didiagnosis dengan kanser dan keluarga mereka sementara menjalani rawatan, dan bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak di Brunei.

Dayang Lim Geok Lai, mewakili YASKA menyampaikan penghargaannya kepada Fitness Zone dan MWNBD kerana menganjurkan acara berkenaan.

Beliau juga berharap bahawa melalui acara larian berkenaan, ia akan meningkatkan kesedaran awam mengenai persatuan berkenaan yang mempunyai lebih daripada 100 ahli dengan paling kecil berusia beberapa bulan yang didiagnosis dengan kanser.

Sumbangan yang diperolehi itu, akan digunakan untuk melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti bagi kanak-kanak yang mengidap kanser di blok Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital RIPAS.

Selain itu, sumbangan juga kerap digunakan untuk membeli lampin, tepung susu atau peralatan khusus seperti kerusi roda.

Larian itu akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu 3.7km (bayaran $30) dan kategori 5km ($35), yang mana pendaftaran dalam talian di alamat www.sheruns.com.bn akan mula dibukakan kepada orang ramai pada 10 April.

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada 1,000 peserta, dan setiap peserta akan menerima baju-t larian, nombor bib, pas percuma selama seminggu ke Fitness Zone, medal tamat larian serta baucar-baucar.

Source: Media Permata

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: