30 Aug
Wu Chun dan Dr Awang Zainal Ariffin menandatangani dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Menteri Kesihatan.

Wu Chun dan Dr Awang Zainal Ariffin menandatangani dokumen perjanjian sambil disaksikan oleh Menteri Kesihatan.

Oleh Hasrulraizan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Sepanjang kerjasama Kementerian Kesihatan dengan Fitness Zone, dari seramai 165 peserta yang berjaya menamatkan Program Klinik Cara Hidup Sihat (KCHS) pada 2012, sejumlah 90 peratus daripada mereka berjaya menurunkan berat badan dan 43 peratus mencapai objektif Program KCHS.

Sehubungan dengan itu Kementerian Kesihatan telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Fitness Zone dalam usahanya meningkatkan lagi keberkesanan Program KCHS yang bertujuan untuk mengurangkan tahap obesiti di negara ini.

Menandatangani bagi pihak Kementerian Kesihatan di majlis yang berlangsung di Fitness Zone cawangan Kiulap itu, ialah Pengarah Umum kementerian berkenaan, Dr Awang Zainal Ariffin Haji Awang Yahya, manakala bagi pihak Fitness Zone ialah Pengarah Urusannya, Goh Kiat Chun (Wu Chun).

PAGE08-FC_2908023123212

 

Menandatangani sebagai saksi bagi pihak Kementerian Kesihatan ialah Pemangku Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr James Lee Moh Kiang, manakala pihak Fitness Zone disaksikan bapa Wu Chun sendiri iaitu Goh Kim Tian.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md Yusof.

Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan telah bekerjasama dengan Fitness Zone selama tiga tahun, dengan pusat kecergasan itu menjalankan program-program kegiatan fizikal bagi Program KCHS.

Perjanjian seumpamanya pernah ditandatangani pada 16 April 2011 yang hanya memberikan satu kadar pakej korporat bagi klien-klien yang mengikuti Program KCHS, manakala perjanjian yang baru ini mempunyai skop kerja yang lebih luas dengan tiga kadar pakej disediakan oleh Fitness Zone bagi klien program itu dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Antara perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak melalui memorandum perjanjian baru itu ialah kadar pakej
korporat bagi kakitangan Kementerian Kesihatan untuk mengikuti program gimnasium Fitness Zone, dan menjalankan sesi program senaman bagi klien-klien Program KCHS.

Turut dipersetujui ialah kadar pakej bersesuaian untuk klien-klien yang mengikuti program gimnasium, dan penyejajaran pesanan-pesanan kesihatan yang dikeluarkan oleh Fitness Zone dengan pesanan Kementerian Kesihatan dalam semua acara di antara kedua-dua belah pihak.

Melalui memorandum perjanjian itu, Kementerian Kesihatan berharap klien Program KCHS serta warga kementerian itu akan mendapat pilihan yang lebih luas untuk mengikuti gimnasium dan mengamalkan kehidupan lebih aktif.

Program KCHS merupakan program pengurangan (pengurusan) berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pengubahsuaian tingkah laku seperti mengamalkan pemakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal secara aktif dan berfikiran positif.

Program ini bertujuan untuk membantu peserta mengurangkan berat badan mereka secara purata sebanyak 1-2 kilogram sebulan atau 5-10 peratus dari berat badan asal dalam tempoh 12 minggu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: