‘Jaga diri dan orang tersayang’

15 Aug

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – “Saya tidak mahu kanak-kanak dan remaja sekarang melalui apa yang pernah saya lalui iaitu kehilangan ibu yang dikasihi akibat barah dan oleh kerana itulah saya wujudkan Fitness Zone bagi mengajak masyarakat Brunei tanpa mengira usia menjalani kehidupan yang cergas, sihat, ceria dan berfaedah.”

Keluarga dan gaya hidup sihat saling berhubung kait rapat antara satu sama yang lain kerana apabila awda menyayangi seseorang pastinya awda mahu orang itu sihat dan diri awda sendiri pun sihat, kerana awda tidak mahu orang yang awda sayangi itu jatuh sakit, ujar Wu Chun kepada Media Permata.

Pelakon Antarabangsa Brunei, Wu Chun, akan mula sibuk dengan rakaman filem terbarunya di Republik Rakyat China bermula Julai 2013 ini.

Pelakon Antarabangsa Brunei, Wu Chun, akan mula sibuk dengan rakaman filem terbarunya di Republik Rakyat China bermula Julai 2013 ini.

 

Beliau tiba-tiba terhenti dan dalam nada suara perlahan telah mengungsikan bahawa beliau kehilangan ibunya akibat barah, dan oleh kerana itulah beliau menyedari dan tahu betapa pentingnya untuk sentiasa kekal sihat.

“Oleh kerana itulah saya sangat menyukai perniagaan saya (Fitness Zone) dan memasukkan keghairahan mendalam di dalamnya kerana melaluinya saya dapat mendidik dan memimpin orang lain khususnya masyarakat Brunei menuju amalan gaya hidup yang sihat. Saya mahu masyarakat Brunei menjadi sebuah masyarakat yang sihat.”

Menurutnya, akhir-akhir ini beliau sering mengunjungi sekolah-sekolah untuk berkongsi ilmu dengan mereka berkaitan peri pentingnya menjaga kesihatan termasuk pemilihan makanan yang sihat dan beliau sangat-sangat menyukainya kerana mereka (generasi muda) adalah masa depan sebenar negara.

Beliau sedih apabila melihat pada masa ini ramai anak-anak muda lebih suka bermain ‘game’ dan banyak lagi perkara yang hanya membuang masa bernilai mereka daripada melakukan perkara-perkara berfaedah yang menjurus kepada masa depan mereka sendiri dan negara.

“Makanya saya benar-benar mahu menyedarkan mereka dengan berkata: “Hei! Jangan terlalu membuang masa dengan melakukan perkara-perkara sedemikian (tidak berfaedah) kerana banyak lagi perkara berfaedah yang boleh kamu lakukan.”

“Saya rasa mereka akan menyesali perbuatan tidak berfaedah mereka itu nanti apabila mereka masuk ke dalam masyarakat dan akan berkata kepada diri mereka sendiri: “Saya banyak menghabiskan masa saya dengan perkara-perkara sedemikian (tidak berfaedah) apabila saya sepatutnya belajar sesuatu yang lebih penting ke arah mempersiapkan diri saya untuk mendapatkan pekerjaan di masa akan datang.”

Beliau turut meluahkan rasa benci beliau apabila melihat telatah anak muda sekarang yang lebih memberikan perhatian kepada telefon bimbit/tablet pintar mereka walaupun ketika makan semeja dengan keluarga mereka sedangkan perbuatan mereka itu merosakkan hubungan mereka dengan keluarga mereka sendiri.

Mereka perlu tahu di mana hadnya! tegas Wu Chun.

Segalanya perihal sekolah adalah mengenai pendidikan, bukan saja belajar dari sudut akademik tetapi juga membina personaliti dan jati diri pelajar supaya mereka lebih mengetahui dan menyedari akan peri mustahaknya peranan institusi keluarga dalam kehidupan harian mereka dan peranan mereka sendiri dalam institusi keluarga, ujarnya.

Sekolah bukan saja mengenai kerja sekolah dan kerja rumah tetapi lebih penting lagi adalah menerapkan rasa kasih sayang terhadap keluarga dalam diri setiap pelajar, tambahnya lanjut.

Selepas 10 tahun melebarkan sayapnya di negara ini, Fitness Zone menurut Wu Chun akan terus berusaha gigih dan sebaik mungkin menjadi wadah penyebar amalan gaya hidup sihat ke dalam diri setiap individu tanpa mengira umur dengan harapan ia akan dapat membantu mengurangkan kadar obesiti di negara ini.

Beliau juga berharap menerusi syarikatnya, Fitness Zone, beliau akan dapat membantu Kementerian Kesihatan dan agensi kesihatan lain di negara ini dalam mengurangkan jumlah pesakit yang mengidap penyakit tidak berjangkit yang berkait rapat dengan amalan gaya hidup tidak sihat seseorang itu seperti strok.

Menyentuh jumlah keahlian di Fitness Zone, beliau mengakui ia semakin meningkat dari setahun ke setahun, yang menurutnya jelas menunjukkan kesedaran meningkat dalam kalangan orang Brunei dalam penjagaan kesihatan mereka masing-masing.

Walau bagaimanapun beliau suka untuk menarik perhatian orang Brunei bahawa apa yang ‘membunuh’ mereka ialah amalan permakanan mereka, maka, jika mereka mahu makan makanan kegemaran mereka sedikit, mereka perlu bersenam secara berterusan kerana jika mereka makan tetapi tidak mahu bersenam, itu bermakna mereka ‘membunuh’ diri mereka sendiri.

Apabila Media Permata bertanya mengenai perkembangan terkininya dalam dunia lakonan, beliau menyatakan bahawa beliau kini dalam persiapan untuk memulakan rakaman filem terbarunya di Republik China pada Julai 2013 nanti.

Source: Media Permata

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: